Saya telah berpeluang untuk mengunjungi negara Brunei Darussalam semasa cuti sekolah yang lalu. Negara itu amat indah dan penuh dengan adat dan budaya Melayu yang amat menarik. Penduduk-penduduk di Brunei sangat peramah dan makanan di sana juga sedap-sedap belaka.
Walaupun terdapat banyak pengalaman yang menarik telah saya lalui, terdapat satu pengalaman yang telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya.
Sewaktu menyeberang jalan raya bersama murid-murid di sana, pemandu-pemandu kereta berhenti untuk memberi laluan kepada kami. Pada mulanya, saya fikir itu kawasan masjid dan juga Muzium Royal Regalia kepunyaan Sultan jadi mereka berhenti dan memberi laluan. Namun, setiap kali kami menyeberang jalan raya, pemandu-pemandu di sana akan menunggu sehingga kami selamat menyeberang sebelum bergerak semula.
Saya berasa amat teruja dan terharu dengan pengalaman ini kerana keadaan ini berbeza di Singapura. Pemandu-pemandu di sini kebanyakannya tidak sabar dan akan memecutkan kereta mereka di jalan raya. Apalagi apabila saya sendiri sewaktu mengajar di sekolah, saya selalu tergopoh-gapah dan cepat naik angin.
Saya rasa kalau pemandu-pemandu tersebut dapat bertimbang rasa dan bersabar, saya juga dapat melakukan perkara yang sama. Mulai hari ini, saya berjanji untuk lebih bersabar dengan karenah anak-anak murid saya dan tidak cepat marah. Saya juga berharap murid-murid saya dapat membantu saya dalam perjuangan saya ini dan mengingatkan saya apabila saya lupa!
Terima kasih semua! :)